Tuesday, March 24, 2009

Berat Badan

Mummy AAD berazam akan menggurangkan berat badan sehingga boleh menyarung kembali baju2 kegemarannya. Oleh itu, mulai saat ini, artikel yang yang digemarinya adalah diet dan yang sewaktu dengannya. Kenalah cari ilmu, baca dan amalkannya.

Artikel pertama

Perlu anda ketahui bahawa musuh utama dari sudut pelangsingan badan ialah tabiat kita sendiri. Mereka yang semula jadi kurus dari segi genetik jarang berfikir mengenai makanan berbanding dengan mereka yang mahu melangsingkan berat badan dan risau dengan berat badan mereka. Golongan ini sentiasa berfikir mengenai makanan dan secara tidak langsung sama ada mereka akan mengamalkan diet yang keterlaluan atau mereka sudah hilang semangat untuk mencapai matlamat mereka dengan berdiet secara sihat. Ini adalah satu tabiat yang harus diperbaiki dengan cara mengikut lima prinsip di bawah.

Prinsip pertama: makan apabila lapar.

Kita perlu tahu, skala kelaparan bagi kita untuk makan adalah ketika kita berasa agak lapar. Bukannya ketika kita berasa kita hendak makan walaupun perut kita tidak lapar.

Prinsip yang kedua: makan apa yang anda inginkan dan bukan apa yang anda rasa anda perlu makan.

Anda harus kenal apa yang anda ingin makan dan anda boleh mengetahuinya kerana badan anda sendiri akan menyampaikan isyarat apakah makanan yang anda inginkan. Ini kerana apabila kita berfikir mengenai sesuatu, otak kita akan berfungsi dengan menghantar isyarat itu kepada tubuh badan dengan mengatakan kita inginkan sesuatu makanan. Contoh yang boleh diberikan adalah sekiranya anda melihat nasi bersama ayam goreng di depan mata anda, dan ketika itu ia membuatkan anda terliur, maka itu bererti anda menginginkan makanan itu dan oleh itu anda perlu mengambil makanan itu dengan syarat anda sememangnya sudah terasa agak lapar. Sekiranya ketika itu anda masih lagi terasa kenyang tetapi anda inginkan sesuatu makanan itu, ini bermakna anda hanya mengikut perasaan anda saja.

Prinsip yang ketiga : makan secara sedar tanpa mengikut nafsu dan perasaan.

Lakukan ini sambil menikmati setiap kunyahan anda dengan cara memperlahankan kecepatan pemakanan anda dan kunyah betul-betul setiap suapan. Minimum kunyahan adalah sebanyak 21 kali dan setiap kali di antara suapan itu anda perlu meletakkan sudu garfu anda di atas pinggan. Jangan makan dengan tergesa-gesa dan lahap kerana ia akan membuatkan anda berasa lebih lapar dan makan lebih banyak. Bagi melakukan prinsip ini anda perlulah mempunyai tahap disiplin dan kesabaran yang tinggi.

Prinsip yang keempat: berhenti makan apabila anda rasa sudah sederhana kenyang.

Sekiranya anda tidak berhenti, ia akan membuatkan anda mengambil makanan yang berlebihan dan pada tahap ini juga anda sudah tidak lagi menikmati makanan itu. Ini kerana ketika anda sudah kenyang tetapi anda meneruskan juga dengan alasan tidak mahu membazir, anda sendiri yang akan menanggung kesannya. Perlu diingatkan bahawa ketika anda mengambil atau meletakkan makanan di dalam pinggan, letak dalam keadaan sedar. Dengan itu anda tidak akan meletakkan makanan secara berlebihan. Di sini berbalik kepada tabiat anda sendiri.

Prinsip yang kelima : anda harus faham akan keajaiban air.

Sekiranya anda terasa lapar, minum dahulu lebih kurang segelas air dan sekiranya anda tidak lapar selepas itu, ini bermakna ia hanyalah dahaga. Dengan cara ini anda tidak akan mengambil makanan secara berlebihan. Bagaimanapun, sekiranya selepas minum anda masih lagi berasa lapar, ini bermakna tubuh anda memerlukan makanan. Justeru, anda perlu mengambil makanan sebanyak mana yang diperlukan. Kajian sudah menunjukkan bahawa diet yang membabitkan meminum banyak air adalah lebih efektif dalam jangka masa panjang. Apatah lagi jika air yang digunakan adalah air yang sudah dirawat dan mengandungi khasiat-khasiat seperti air zam-zam, air daripada sumber semula jadi atau air bertenaga aura.

Sumber : Berita Harian Online

No comments: